Powered by Blogger.

Whatsapp kami untuk Tempahan & Maklumat Lanjut:

Suspension Dalam Sebuah Kereta

Posted by Nazz Abdullah On 3:00 PM


Sistem gantungan atau suspensi adalah salah satu cabang sistem casis yang penting. Fungsi utamanya adalah untuk mengasingkan kabin kereta dari permukaan jalan yang kasar dan tidak rata, yang seterusnya memberikan keselesaan kepada penumpang. Ia juga berfungsi untuk memberikan kebolehan pemandu untuk mengawal pergerakan kereta melalui sistem stereng, dan menjamin kestabilan ketika pemanduan.

Dalam proses kejuruteraan sesebuah kenderaan, sistem suspensi biasanya dibahagikan kepada suspensi depan dan belakang. Dari segi jenis, terdapat pelbagai rekabentuk suspensi walaupun ketika ini yang paling popular adalah sistem McPherson strut untuk suspensi depan dan torsion beam atau sistem multilink untuk suspensi belakang. Satu komponen penting suspensi depan juga adalah sistem steering, yang biasanya terdiri dari jenis rack & pinion dengan bantuan hidraulik, atau yang makin popular kini, sistem elektrik (EPS – electric power steering).

Jika dalam keadaan pegun (seperti yang biasa dilihat di ruang pameran kereta, atau juga di televisyen dan dada-dada akhbar), karakter kereta mungkin lebih didefinisi oleh gaya rekabentuk luaran (styling), namun apabila sesebuah kereta dipandu sistem gantungan lebih bertanggungjawab untuk memberikan karakter dinamik yang dirasai oleh seseorang pemandu. Jika styling kereta menawan hati bakal pembeli untuk pergi memandu uji, sistem gantungan akan menjadi salah satu faktor penentu samada kereta itu sedap dipandu dan seterusnya dimiliki.

Seperti banyak sistem-sistem lain dalam kenderaan, kerja-kerja pembangunan sistem suspensi adalah rumit dan banyak hubungkait dengan pelbagai aspek yang melibatkan kerja integrasi yang banyak. Ini termasuk jenis kereta (sedan, van, SUV, dsb.), ride & handling (R&H), packaging, strength & durability (dayatahan dan kadar tahan), jenis bahan (material), prestasi crash, prestasi brek dan kawalan stabiliti, pembuatan dan kebolehpasangan (manufacturability & installation), kebolehan servis, kebolehan kitar semula, strategi platfom (keseragaman komponen) dan semestinya kos dan tempoh pembangunan.

Dalam pelbagai faktor yang disebut, Ride & Handling (R&H) merupakan faktor yang paling utama untuk pembangunan suspensi. Ini kerana kestabilan kenderaan banyak bergantung kepada bagaimana sistem suspensi direka dan aspek R&H dibangunkan.

Seiring dengan kemajuan teknologi, mungkin ramai yang tidak menyedari kepentingan R&H memandangkan rata-rata kereta zaman sekarang amat stabil dan mempunyai asas rekaan yang baik. Namun kepada mereka yang ingat akan sesetengah model selewat tahun 80an, masih ada kereta yang tidak sesuai dipandu laju atau harus dipandu amat perlahan sewaktu mengambil selekoh kerana sistem suspensi yang tidak direka atau ditala secara baik.

Namun masih terdapat beza yang banyak antara kereta yang mempunyai talaan R&H yang baik, dan yang tidak. Walaupun rata-rata pemandu biasa mungkin kurang boleh membezakan secara terperinci ciri-ciri suspensi dan karektor dinamik kereta mereka, namun untuk yang lebih cenderung, kereta yang ada R&H yang baik biasanya akan diakui lebih ‘sedap’ dipandu. Kata-kata seperti ‘stabil di atas lebuhraya’ atau ‘mudah mengambil selekoh’, atau juga ‘selesa dan tak melambung-lambung di atas jalan tak rata’ acapkali menjadi sebutan.

Tak kurang juga yang mengambil langkah mengubahsuai kereta mereka dengan spring yang lebih keras, kedudukan kereta yang lebih rendah, tayar dan rim yang lebih besar, roda stereng yang lebih kecil dan sporty – yang rata-ratanya, selain dari faktor estetik, dipacu oleh kepercayaan bahawa modifikasi sebegini akan meningkatkan prestasi R&H dan pengendalian (walaupun tak semua modifikasi yang disebut sebenarnya baik untuk R&H!).

Ini menandakan bahawa bagi setiap pemandu yang cenderung akan prestasi kereta, R&H adalah faktor yang menjadi perkiraan penting terhadap karekter dinamik sesebuah kereta. Apa guna enjin yang beratus kuasa kuda, styling yang menarik dan alat aksesori yang pelbagai jika sesebuah kereta tidak ‘sedap’ dipandu?
Dari satu sudut, R&H adalah pembeza, antara kereta yang menjadi ‘alat’ mengangkut manusia dan benda dari poin A ke poin B, dan kereta yang umpama seorang ‘pasangan’ setia seorang pemandu (dan peminat) kereta. Dan intipati R&H sentiasa berkait rapat dengan sistem gantungan yang baik.

Site search